Friday, 10 July 2015

MITOS GRADUAN MEWAH DAN #SAYAZAHRA

     Kagum melihat keberanian anak muda ini meluahkan sakit dan perit yang terbuku dihati di hadapan YAB Timbalan Perdana Menteri dek kerana masalah yang dihadapinya. Masalah yang yang telah lama membelenggu dirinya dan ribuan graduan lain di negara ini. Semoga menteri tersebut dapat mendengar dengan telinga dan hati luahan anak muda yang bernama Zahra ini, mewakili para graduan lain dan bakan-bakal graduan lain.

     Dari sudut pandangan yang lain, Zahra mungkin lebih bernasib baik kerana mempunyai kerjaya meskipun bukan kerjaya impiannya. Tapi siapa yang tak mahukan kerjaya yang setaraf dengan kelayakan dann sijil yang digenggem. Mungkin ada yang mengatakan zaman kini tidak boleh terlalu memilih pekerjaan dek kerana persaingan pasaran kerja yang maha sengit lantas terima sahaja apa jua pekerjaan yang diterima. Persoalannya adakah dengan kerjaya diterima itu mampu menjamin ‘servival’ diri, lebih-lebih lagi bagi masyarakat Bandar. Kenaikan kos sara hidup yang kian menggila menjadikan para graduan lepasan IPT ini begitu kerdil disebabkan tidak mempunyai jaminan kuasa ekonomi meskipun untuk diri sendiri. Impian mempunyai rumah sendiri apabila mendapat pekerjaan menjadi seolah-olah tinggal angan-angan  sahaja. Bayangkan di sekitar Selangor, harga bagi sebuah rumah teres satu tingkat sahaja mencecah RM300 000, dengan gaji fresh graduate sekitar RM1500 sahaja, tahun bilakah agaknya graduan ini mampu merealisasikan impian mereka ?. Bagi Zahra, untuk membayar deposit rumah sahaja mengambil masa kira-kira 6-7 tahun.

     Itu mungkin bagi mereka yang telah bekerjaya walaupun bukan dengan kerjaya impian mereka. Bagaimana pula dengan graduan yang masih bergelut dengan masalah pengangguran meskipun telah bertahun-tahun bergraduasi. Kebanyakan orang kita mudah sahaja menilai, graduan tak dapat kerja disebabkan malas, terlalu memilih kerja, CGPA rendah dan sebagainya. Hakikatnya hanya mereka yang ditimpa masalah ini sahaja yang tahu situasi sebenar. Bagi golongan ini, impian memiliki kereta, gaji besar, hidup senang, menampung perbelanjaan keluarga, hantar duit setiap bulan ke kapung, hantar mak ayah buat umrah dan haji, apatah lagi memiliki rumah sendiri hanya tinggal angan-angan. Belum lagi impian berumah tangga. Inilah bencana terbesar bagi para graduan dan bakal-bakal graduan.

     Zaman kini, gambaran kehidupan senang dan mewah bagi lepasan IPT tidak lebih daripada sebuah mitos semata-mata. Mitos ini masih lagi dipegang di kalangan anak-anak di bangku persekolahan. Mereka masih lagi dimomokkan dengan kenyataan bahawa masa depan cerah apabila dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Jalan yang digembar-gemburkan ini cukup mudah ; kutip seberapa banyak ‘A’ dalam SPM, masuk universiti, keluar universiti dapat kerja gaji 4-5 angka, hidup senang, tamat. Happy ending. Tett! tak semudah itu. Jalan yang gambarkan itu mungkin benar 20-30 tahun yang lalu. Ironinya, kebanyakan graduan yang mempunyai masalah ini adalah anak-anak MELAYU.

     Apa yang jelas, pemikiran konservatif anak-anak masa kini menyebabkan mereka manaruh harapan yang melangit tinggi untuk belajar di menara gading  kerana telah terjanji bulan dan bintang selepas bergelar graduan universiti. Maka mereka berpegang pada mazhab yang menganggap universiti adalah kunci kepada sebuah kejayaan dalam kehidupan. Mungkin sudah tiba masanya untuk menghentikan mitos ini daripada pemikiran anak-anak di bangku sekolah. Anak-anak perlu didedahkan dengan realiti kehidupan seorang graduan yang sebenar. Bukan tujuan untuk menakut-nakutkan atau mematahkan semangat mereka belajar di menara gading, tetapi membentuk semangat juang yang tinggi, daya saing dan pemikiran kritikal segaligus menggalakkan mereka membina pelan tindakan sejak awal sekiranya masalah ini menjadi realiti bagi mereka. Untuk tujuan itu, peranan guru, ibu bapa dan golongan intelektual muda iaitu mahasiswa perlu digarap bersama. Melalui program-program motivasi yang dianjurkan oleh mana-mana perkumpulan mahasiswa ini, pengisian terhadap perkara ini perlu dititik beratkan.

     Itu mungkin bagi anak-anak di bangku sekolah. Bagaimana pula dengan mahasiswa yang 1-4 tahun lagi bergelar graduan. Di sinilah pentingnya kesedaran dalam diri sama ada cakna atau pun tidak terhadap masalah yang bakal dihadapi kelak. Satu-satunya jalan keluar yang terlalu mainstream disarankan adalah dengan perniagaan. Ye memang betul. Dalam riwayat tarmizi, Rasulullah bersabda bahawa 9/10 rezeki itu datangnya daripada berniagaan. Ada baiknya juga subjek-subjek yang berkenaan perniagaan ini didedahkan di peringka universiti. Namun perlu diingatkan, teori yang diajar dalam kelas tidak selalunya betul dari segi praktikal. Cabaran memulakan perniagaan itu bukan enteng, bukan semudah ABC atau bukan semudah membuka botol kicap. Bukan mudah untuk para graduan untuk memohon pinjaman daripada bank. Namun masih ada skim yang bertujuan membantu graduan memulakan perniagaan seperti Tabung Usahawan Siswazah, (TUS). Tapi perlu ingat, untuk mendapatkan pinjaman kewangan dari TUS perlu berumur sekurang-kurangnya 40 tahun. Suatu yang perlu ditekankan di suatu sudut yang lain, pinjaman dari bank tidak dapat lari daripada terlibat dengan riba’.

     Namun selagi ada usaha dan semangat semuanya tidak mustahil. Apa yang paling penting adalah kesedaran dari peringkat awal. Dari kesedaran ini, graduan boleh membina perniagaan sendiri tanpa memerlukan pinjaman bank walaupun dengan modal yang kecil melalui sikap berjiamt cermat ketika masih menuntut di universiti. Bagi pemegang baisiswa JPA misalnya, RM5000 yang di-bank in-kan bukanlah untuk dihabiskan setiap semester. Kesedaran awal ini mendorong kesediaan mereka menghadapi segala kemungkinan. Sekurang-kurangnya, mereka tidak terkejut apabila keluar dari universiti disebabkan segalanya bercanggah dengan apa yang difikirkan.
Begitulah realiti kehidupan hari ini. Golongan lepasan IPT tercampak jauh ke suatu sudut yang begitu menekan. Tergambar di fikiran mungkin  golongan ini merupakan golongan proletariat di zaman moden, hidup dalam kesengsaraan dengan upah yang tidak setimpal. Sedangkan golongan inilah yang akan menggantikan kepimpinan negara. Sebernarnya bukan  upah yang menjadi persoalan tapi kos sara hidup yang melambung menjadikan upah yang diterima begitu halus. Mahasiswa perlu bingkas bangun dari mimpi indah dan angan-angan. Bak kata Zahra, “belajar tinggi-tinggi, akhirnya mengemis juga”. Mungkin kita juga terpalit sama.


-          Saya Azhar / Zahar bukan Zahra, saya sayang Malaysia.

3 comments: