Friday 11 November 2016

Buat esei tentang harapan dan impian anda mengenai keluarga yang akan anda bina sendiri di masa akan datang - berapakah usia anda merancang untuk berkahwin dan mengapa anda memilih usia tersebut? Apakah ciri-ciri pasangan yang anda impikan; dan mengapa? Berapakah bilangan anak-anak yang anda inginkan; dan mengapa? Apakah falsafah atau prinsip yang ingin anda gunakan untuk keluarga anda nanti?
Deadline bagi esei ini adalah pada minggu ke-14. Esei ini akan dinilai dan menyumbang kepada 10% daripada penilaian keseluruhan kursus ini.
Sekian, selamat maju jaya!

Jawapan : 

Setiap manusia pastinya mengimpikan sebuah keluarga bahagia, begitu juga saya. Saya merancang untuk mula membina keluarga pada umur 26 tahun.  Saya kira pada umur ini sudah memasuki fasa kematangan yang membolehkan untuk ‘mendirikan sesebuah masjid’. Kematangan yang dimaksudkan disini adalah dapat berfikir dan bertindak dengan lebih rasional disamping memiliki ilmu rumah tangga yang baik. Umur ini juga saya mungkin telah memiliki aset dan keperluan yang sewajarnya seperti pekerjaan tetap, kereta, rumah dan sebagainya. 

Saya mengimpikan untuk membina sebuah keluarga dengan seorang gadis yang tidak perlu menjadi sempurna. Perkara utama yang saya lihat adalah mempunyai asas agama yang baik, pandai menjaga akhlak dan maruah diri, keluarga dan agama. Asas agama juga penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmoni, mengajar anak-anak kami tentang akhlak dan ibadat disamping sentiasa mengingatkan suaminya tentang kewajipan dan tanggungjawab. Ibu bapa saya membesar dengan pendidikan agama pada peringkat asas sahaja. Jadi saya mengimpikan seorang isteri yang dapat mengajar lebih mendalam ilmu agama terutamanya hal-hal ibadat kepada kedua ibu bapa saya ketika usianya semakin lanjut. Selain itu, cukup sekadar mempunyai pasangan yang sedap mata memandang dan tidak berhias keterlaluan. Pasangan juga perlu tahu peranannya dengan mempersiapkan ilmu memasak, mengemas rumah, mendidik anak-anak serta menjaga hati dan menghormati suami dan kedua ibu bapa. Perkahwinan yang dibina bukan hanya atas rasa cinta terhadap bakal pasangan, tetapi menyeluruh dengan rasa sayang dan cinta terhadap segala isinya seperti ibu bapa pasangan, minat dan hobi pasangan. Perkara ini penting bagi melahirkan perasaan saling memahami antara satu sama lain. 

Bilangan anak yang diimpikan adalah tidak lebih dari lima orang, cukup lelaki dan perempuan. Bilangan tersebut agak ideal dalam keluarga moden hari ini. Namun itu bukanlah perkara utama, sebaliknya yang paling penting adalah didikan ilmu dunia dan akhirat bagi anak-anak tersebut selain mempunyai ciri-ciri yang sempurna sebagai manusia normal. Saya berpegang pada prinsip ‘ alang-alang bercinta, biar bercinta hingga ke syurga, tidak ada keluarga yang lebih baik selain keluarga yang dibina atas dasar iman dan taqwa, selain cinta dan sayang yang menjadi lumrah dalam hati manusia’. 

Sunday 4 October 2015

MELAWAN ARUS KELAZIMAN


Lumrah jiwa seorang pemuda untuk memberontak, tapi jiwa memberontak adalah suatu yang baik andai matlamat kearah kebaikan dan cara yang tidak melampaui batas. Kadang kala diri tak dapat menahan kemunafikan di depan mata lantas cuba mencari solusi yang terbaik untuk menggantikannya. Namun perlu diakui juga bahwa kadang-kadang tindakan kita terbatas dek kerana amalan tradisi yang diangkat julang tinggi, apatah lagi mereka menganggap diri mereka lebih berpengalaman maka diri seolah-olah kerdil dan pastinya mematikan langkah.
Amalan  tradisi yang diangkat tinggi dan hujah longlai yang dikeluarkan oleh mereka-mereka diatas membuatkan diri dan sahabat seperjuangan disebelah tergelak kecil. Bagaimana mungkin hendak mencapai keputusan yang baik andai kaedah yang sama digunakan. Maka terpasaklah dalam diri bahawa kaedah ini, perlu segera DIHENTIKAN !

Memudahkan Urusan yang Susah
Bila melihat orang yang menggelar diri mereka ‘lebih berpengalaman’, agak kelakar bila mereka berlainan pandangan sedangkan orang dibawah yang dianggap tidak tahu apa-apa ini perlu merujuk pada mereka. Lantas, perlu merujuk pada pihak yang mana ? Nah, solusinya yang saya cadangkan adalah rujuklah pada mereka yang cenderung untuk memudahkan urusan orang lain, bukan mengikuti amalan kelaziman, apatah lagi kelaziman tersebut menyusahkan dan kearah penipuan. Disinilah fungsi kita untuk melawan kelaziman tersebut .

Pengalaman dan kebenaran
Ye, anda yang diatas berpengalaman, tapi pengalaman anda tidak menjamin setiap tindakan itu betul. Saya meraikan pandangan yang berbeza, tapi bukan pandangan yang memaksa. Soalan diajukan kepada kami “apa yang korang faham selama tiga hari ni ?” ( soalan bersifat menyerang ). Jawapan dari hati, tapi tak cukup kuat untuk luahkan, “ bagaimana untuk faham melakukan sesuatu yang salah dan menyusahkan secara paksaan”. Hanya hati mampu berkata, tak terluah dengan perkataan lagi. Masih menunggu puncaknya, letusan kemarahan.
Tak tahu la sama ada sahabat-sahabat diatas bahtera yang sama mampu melihat perkara ini atau tidak, atau apakah tidak mahu berfikir langsung. Mungkin mereka dah hadam, “ terima dulu… ”. tapi aku masih ragu-ragu.

Biarlah hanya diri yang celik hatinya yang faham .

Sunday 27 September 2015

Jerebu  Dan kita

Melangkah dalam kekaburan, sungguh perit, kerna tidak pasti apa dihadapan.
Pandangan menjadi kabur, membataskan penglihatan, apakah tuah, apakah Malang yang menanti dihadapan
Gerak badan longlai, melemahkan segala urat sendi,

dulunya Yg bertiup jernih bersih, menyegarkan rongga badan, kini menyakitkan.
Dulunya yang bertiup lembut, menghidupkan hati yg mati, kini mematikan akal fikiran,

Adakah perlu marah pada alam,
Mungkin ini tamsilan dari Sang Pencipta,
Cerminan nusa kita yang kini,

Hala tuju entah kemana,
Jalan lurus kini menyesatkan, penuh liku dan tebing curam
Onak Dan duri semakin menghimpit
Masa depan yang kabur, dek kerana sang penguasa durjana, pendokong tirani

Dulunya melangkah dengan rancak, kini semakin rapuh, menunggu saat rebah ke bumi.
Tersungkur atau terus maju, tiada siapa tahu,
Sungguh, kita diliputi kabus pembunuh

P/s ini adalah cubaan pertama menulis puisi sebagai persediaan tugasan subjek penulisan kreatif 

Tuesday 14 July 2015

BICARA BUDAK SASTERA

Anda pelajar aliran sastera ? Malu dengan saudara mara ? malas nak berjumpa dengan makcik-makcik kerana akan disoal siasat ? Jemu dengan soalan ; “nak kerja apa lepas grad ?” atau soalan, “besar ke gaji kerja kau nanti ?” atau sindiran pedas seperti; “Anak makcik yang belajar sains tu semua dah berjaya”. Sabar.. dan fahami sastera nescaya anda akan sayangi sastera .

Sistem pendidikan di Malaysia membahagikan golongan pelajar kepada dua kelompok sejak dari bangku sekolah lagi ; pelajar aliran sains dan aliran sastera. Situasi ini berlanjutan selepas mereka menyambung pengajian di IPT. Kesan yang ketara dapat dilihat apabila wujud perbezaan jumlah peluang pekerjaan di pasaran kerja bagi kedua-dua aliran. Peluang pekerjaan yang ditawarkan bagi pelajar aliran sastera dikatakan amat terhad kalau nak dibandingkan dengan peluang pekerjaan yang terhidang bagi pelajar aliran sains. Sama ada mahu atau tidak, inilah hakikat yang perlu ditelan oleh graduan aliran sastera. Situasi ini membentuk suatu dilema kepada pelajar-pelajar aliran sastera untuk memilih pekerjaan selepas bergraduasi. Persoalan yang bermain difikiran, mengapa berlaku hal sebegini ?

Kegagalan untuk memahami dan menghayati falsafah sastera itu sendiri meletakkan sistem pendidikan negara begitu rapuh. Sastera hadir dalam kehidupan manusia mendahului segala macam bentuk sains dan teknologi. Sastera itu lahir dari jiwa masyarakat dunia yang diterjemahkan dalam bentuk ortografi. Sastera bukanlah hanya tertakluk kepada puisi-puisi tradisional yang dihayati melalui keindahan penggunaan bahasanya, tetapi difahami dan diselami melalui setiap patah perkataan yang dikaji melalui disiplin semantik dan sintaksisnya. Apabila pemikiran manusia berkembang, mereka mula mengembangkan suatu disiplin ilmu yang baru yang dinamakan sebagai sains. Tidak boleh dinafikan bahawa sains cukup berguna untuk kehidupan umat manusia. Namun fungsi sastera bukanlah hanya sebagai rujukan bagi para pengkaji sejarah bahasa atau tersimpan dalam suatu ruang yang ‘tertutup’ yang memainkan peranan sebagai sebuah muzium apabila berkembangnya disiplin ilmu sains. Golongan elitis negara dalam birokrasi pendidikan gagal melihat bahawa seharusnya sains dan sastera itu perlu bergerak seiring dan kedua-duanya adalah bersifat Komplemen ; saling memerlukan.

Sedarkah kita bahawa kitab suci al-Quran itu sendiri merupakan sastera agung daripada pencipta kepada hambaNya. Bagaimana  fungsi al-Quran dalam kehidupan manusia ? pastinya semua boleh menjawab bahawa ianya melengkapi seluruh aspek kehidupan, termasuklah hal-hal berkaitan pemerintahan, ekonomi dan harta, undang-undang,  dan sebagainya. Atas prinsip ini, mengapa tidak kita angkat sastera itu menjadikan aspek penting dalam kehidupan manusia ?

Di Malayisa, pelajar aliran sastera diletakkan sebagai golongan kelas ketiga, iatu golongan bawahan berbanding pelajar aliran sains. Senario ini boleh dilihat apabila pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang kurang memberangsangkan ( kalau dulu selepas PMR ) akan dipaksa untuk mendiami kelas beraliran sastera. Sebaliknya pelajar yang mendapat keputusan yang agak cemerlang diletakkan di bawah aliran sains. Mereka biasanya tidak akan diberi peluang untuk menukar aliran atas alasan bahawa aliran Sains lebih susah maka sesuai untuk pelajar cemerlang sahaja. Tambah memburukkan lagi apabila pelajar yang dikatakan cemerlang yang mendapat aliran sains tidak dibenarkan untuk menukar ke aliran sastera. Senario ini berbeza dengan sistem pendidikan di barat. Pelajar bebas untuk memilih aliran mereka sendiri berdasarkan minat dan sifat ingin tahu. Maka lahirlah ramai pelajar yang mahir daripada semua bidang misalnya mahir ilmu sains dan muzik. Prinsip inilah yang seharusnya diamalkan di Malaysia, iaitu memenuhi minat dan sifat ingin tahu seseorang individu, bukan secara paksaan.

Walaupun Malaysia telah banyak menumpuh kejayaan; membina banyak menara pencakar langit, menganjurkan perlumbaan F1, menghantar angkasawan ke ISS,  namun hakikatnya isu gelandangan, isu pengangguran, isu sikap masyarakat yang suka membuang sampah merata masih lagi tak dapat diselesaikan. Mengapa kita dikatakan maju dalam bidang sains dan teknologi tetapi begitu mundur dalam hal-hal sosial masyarakat. Golongan elitis ini perlu sedar bahawa untuk menangani segala macam masalah sosial ini, sastera adalah kuncinya, bukan lagi sains. Begitu juga dalam pasaran kerja, kita maju dalam ilmu perniagaan, perubatan, reka cipta, pembinaan dan sebagainya, tetapi adakah kita sudah cukup maju berkenaan sikap ; komitmen terhadap kerja, tanggungjawab, jati diri bangsa, semangat, spitual dan sebagainya ? disinilah peranan yang perlu dimainkan oleh orang-orang sastera ! Seharusnya di setiap company termasuk swasta perlu disediakan sekurang-kurangnya satu department untuk orang sastera.                                                 

Inilah penyakit di Malaysia. Senario yang berlaku dalam pasaran kerja bermula daripada manhaj yang diamalkan dalam pendidikan. Masalah yang berlaku dalam pasaran kerja semakin membarah kerana telah terakar umbi sejak awal lagi. Apa yang perlu difahami ialah, Sastera kita telah dibunuh di negara ini !


-Salam sayang daripada budak sastera <3

Friday 10 July 2015

MITOS GRADUAN MEWAH DAN #SAYAZAHRA

     Kagum melihat keberanian anak muda ini meluahkan sakit dan perit yang terbuku dihati di hadapan YAB Timbalan Perdana Menteri dek kerana masalah yang dihadapinya. Masalah yang yang telah lama membelenggu dirinya dan ribuan graduan lain di negara ini. Semoga menteri tersebut dapat mendengar dengan telinga dan hati luahan anak muda yang bernama Zahra ini, mewakili para graduan lain dan bakan-bakal graduan lain.

     Dari sudut pandangan yang lain, Zahra mungkin lebih bernasib baik kerana mempunyai kerjaya meskipun bukan kerjaya impiannya. Tapi siapa yang tak mahukan kerjaya yang setaraf dengan kelayakan dann sijil yang digenggem. Mungkin ada yang mengatakan zaman kini tidak boleh terlalu memilih pekerjaan dek kerana persaingan pasaran kerja yang maha sengit lantas terima sahaja apa jua pekerjaan yang diterima. Persoalannya adakah dengan kerjaya diterima itu mampu menjamin ‘servival’ diri, lebih-lebih lagi bagi masyarakat Bandar. Kenaikan kos sara hidup yang kian menggila menjadikan para graduan lepasan IPT ini begitu kerdil disebabkan tidak mempunyai jaminan kuasa ekonomi meskipun untuk diri sendiri. Impian mempunyai rumah sendiri apabila mendapat pekerjaan menjadi seolah-olah tinggal angan-angan  sahaja. Bayangkan di sekitar Selangor, harga bagi sebuah rumah teres satu tingkat sahaja mencecah RM300 000, dengan gaji fresh graduate sekitar RM1500 sahaja, tahun bilakah agaknya graduan ini mampu merealisasikan impian mereka ?. Bagi Zahra, untuk membayar deposit rumah sahaja mengambil masa kira-kira 6-7 tahun.

     Itu mungkin bagi mereka yang telah bekerjaya walaupun bukan dengan kerjaya impian mereka. Bagaimana pula dengan graduan yang masih bergelut dengan masalah pengangguran meskipun telah bertahun-tahun bergraduasi. Kebanyakan orang kita mudah sahaja menilai, graduan tak dapat kerja disebabkan malas, terlalu memilih kerja, CGPA rendah dan sebagainya. Hakikatnya hanya mereka yang ditimpa masalah ini sahaja yang tahu situasi sebenar. Bagi golongan ini, impian memiliki kereta, gaji besar, hidup senang, menampung perbelanjaan keluarga, hantar duit setiap bulan ke kapung, hantar mak ayah buat umrah dan haji, apatah lagi memiliki rumah sendiri hanya tinggal angan-angan. Belum lagi impian berumah tangga. Inilah bencana terbesar bagi para graduan dan bakal-bakal graduan.

     Zaman kini, gambaran kehidupan senang dan mewah bagi lepasan IPT tidak lebih daripada sebuah mitos semata-mata. Mitos ini masih lagi dipegang di kalangan anak-anak di bangku persekolahan. Mereka masih lagi dimomokkan dengan kenyataan bahawa masa depan cerah apabila dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Jalan yang digembar-gemburkan ini cukup mudah ; kutip seberapa banyak ‘A’ dalam SPM, masuk universiti, keluar universiti dapat kerja gaji 4-5 angka, hidup senang, tamat. Happy ending. Tett! tak semudah itu. Jalan yang gambarkan itu mungkin benar 20-30 tahun yang lalu. Ironinya, kebanyakan graduan yang mempunyai masalah ini adalah anak-anak MELAYU.

     Apa yang jelas, pemikiran konservatif anak-anak masa kini menyebabkan mereka manaruh harapan yang melangit tinggi untuk belajar di menara gading  kerana telah terjanji bulan dan bintang selepas bergelar graduan universiti. Maka mereka berpegang pada mazhab yang menganggap universiti adalah kunci kepada sebuah kejayaan dalam kehidupan. Mungkin sudah tiba masanya untuk menghentikan mitos ini daripada pemikiran anak-anak di bangku sekolah. Anak-anak perlu didedahkan dengan realiti kehidupan seorang graduan yang sebenar. Bukan tujuan untuk menakut-nakutkan atau mematahkan semangat mereka belajar di menara gading, tetapi membentuk semangat juang yang tinggi, daya saing dan pemikiran kritikal segaligus menggalakkan mereka membina pelan tindakan sejak awal sekiranya masalah ini menjadi realiti bagi mereka. Untuk tujuan itu, peranan guru, ibu bapa dan golongan intelektual muda iaitu mahasiswa perlu digarap bersama. Melalui program-program motivasi yang dianjurkan oleh mana-mana perkumpulan mahasiswa ini, pengisian terhadap perkara ini perlu dititik beratkan.

     Itu mungkin bagi anak-anak di bangku sekolah. Bagaimana pula dengan mahasiswa yang 1-4 tahun lagi bergelar graduan. Di sinilah pentingnya kesedaran dalam diri sama ada cakna atau pun tidak terhadap masalah yang bakal dihadapi kelak. Satu-satunya jalan keluar yang terlalu mainstream disarankan adalah dengan perniagaan. Ye memang betul. Dalam riwayat tarmizi, Rasulullah bersabda bahawa 9/10 rezeki itu datangnya daripada berniagaan. Ada baiknya juga subjek-subjek yang berkenaan perniagaan ini didedahkan di peringka universiti. Namun perlu diingatkan, teori yang diajar dalam kelas tidak selalunya betul dari segi praktikal. Cabaran memulakan perniagaan itu bukan enteng, bukan semudah ABC atau bukan semudah membuka botol kicap. Bukan mudah untuk para graduan untuk memohon pinjaman daripada bank. Namun masih ada skim yang bertujuan membantu graduan memulakan perniagaan seperti Tabung Usahawan Siswazah, (TUS). Tapi perlu ingat, untuk mendapatkan pinjaman kewangan dari TUS perlu berumur sekurang-kurangnya 40 tahun. Suatu yang perlu ditekankan di suatu sudut yang lain, pinjaman dari bank tidak dapat lari daripada terlibat dengan riba’.

     Namun selagi ada usaha dan semangat semuanya tidak mustahil. Apa yang paling penting adalah kesedaran dari peringkat awal. Dari kesedaran ini, graduan boleh membina perniagaan sendiri tanpa memerlukan pinjaman bank walaupun dengan modal yang kecil melalui sikap berjiamt cermat ketika masih menuntut di universiti. Bagi pemegang baisiswa JPA misalnya, RM5000 yang di-bank in-kan bukanlah untuk dihabiskan setiap semester. Kesedaran awal ini mendorong kesediaan mereka menghadapi segala kemungkinan. Sekurang-kurangnya, mereka tidak terkejut apabila keluar dari universiti disebabkan segalanya bercanggah dengan apa yang difikirkan.
Begitulah realiti kehidupan hari ini. Golongan lepasan IPT tercampak jauh ke suatu sudut yang begitu menekan. Tergambar di fikiran mungkin  golongan ini merupakan golongan proletariat di zaman moden, hidup dalam kesengsaraan dengan upah yang tidak setimpal. Sedangkan golongan inilah yang akan menggantikan kepimpinan negara. Sebernarnya bukan  upah yang menjadi persoalan tapi kos sara hidup yang melambung menjadikan upah yang diterima begitu halus. Mahasiswa perlu bingkas bangun dari mimpi indah dan angan-angan. Bak kata Zahra, “belajar tinggi-tinggi, akhirnya mengemis juga”. Mungkin kita juga terpalit sama.


-          Saya Azhar / Zahar bukan Zahra, saya sayang Malaysia.

Thursday 9 July 2015

ADA APA DENGAN PERHIMPUNAN HARAM ?

Bismillah..
        Suatu petang yang nyaman, tenang dan damai, sempat aq membuang masaku dengan bersantai di suatu sudut di pusanika ( warga UKM menyebutnya dengan ‘kerusi merah ) bersama temanku Seman, bukan nama sebenar sambil borak-borak. Dua orang anak muda ni sibuk berbincang mengenai persatuan yang disayangi. Tengah berborak, tiba-tiba datang pula si Munah, bukan nama sebenar duduk dihadapan kami. Munah ni orangnya agak becok, banyak mulut dan banyak cerita. Dulu aku fikir si Munah ni seorang yang berprinsip, tapi makin lama aku kenal dia semakin aku tahu yang aku silap judge dia. Kenapa ? biarlah aku sorang je yang tahu sebabnya.

        Straight to the point, dalam banyak-banyak topik yang kiteorang borak kan ni, aku tertarik untuk menjawab persoalan dia tentang beberapa hal yang dia bangkitkan. Sebelum ni dia pernah bagitahu aku yang dia seorang yang ‘berhaluan kiri’ dalam senario politik kampus dan politik nasional. Tapi malangnya dia tak setuju cara aku dan beberapa kawan-kawan ku dalam berpolitik, iaitu turun ke jalanan menyertai Perhimpunan Bantah GST, ‘perhimpunan haram’. Hmm
Perhimpunan haram. Aku agak hairan mengapa ada pihak mang melabel perhimpunan rakyat ini sebagai haram. Mungkin dikatakan haram kerana mengadakan perhimpunan tanpa sebarang permit. Kita sering disuap dengan maklumat yang mengatakan bahawa perhimpunan sebegini rupa boleh menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga di sekitar kawasan tersebut, menimbulkan hura hara, merosakkan fasiliti awam, menjejaskan sektor pelancongan dan sebagainya. Aku pasti orang-orang yang mengeluarkan pandangan sebegini dan  orang-orang yang bersetuju dengan pandangan ini sebenarnya tidak kenal erti sebenar perhimpunan tersebut apatah lagi untuk turun sendiri ke jalanan, sekurang-kurangnya mengkaji tindak tanduk peserta.  Golongan-golongan ini hanya melihat secara kasar tanpa menilai setiap tindakan oleh peserta dan penganjur perhimpunan sekaligus mengiyakan maklumat yang disuap ke ‘tembolok’ mereka.

        Aku tak pasti berapa jumlah peserta ‘perhimpunan Bantah GST’. Hanya maklumat berkaitan Perhimpunan bersih 3.0 yang diperoleh iaitu kira-kira seramai 250 000 orang yang turut serta. 250 000 orang, aku kira kalau mereka benar-benar ingin menghuru-harakan negara, Kuala Lumpur pastinya dah menjadi padang jarak pandang terkukur ditambah dengan laporan yang mengatakan kononnya paserta perhimpunan ini ganas dan tidak bertamadun. Suka-suka korang je cakap diorang ni tak bertamadun. Nasihat aku, kita sama-sama turun dan lihat dengan mata kepala sendiri apa yang berlaku, jangan hanya menganga  kena suap dengan berita-berrita yang tak betul.
  
        Sesetengah orang menganggap perhimpunan sebegini tidak ada apa-apa manfaat dan tidak memberi kesan kepada kepada sesuatu keputusan yang dibuat pihak kerajaan. Ada pula yang mengkritik dengan mengatakan bahawa perhimpunan ini sebagai cara yang tidak bijak apatah lagi disertai golongan mahasiswa. Mahasiswa sepatutnya lebih bijak dalam menghadapi sesuatu isu. Bukan kita tidak meluahkan menterjemahkan perasaan rakyat dalam penulisan di blog-blog dan media sosial. Memorendum juga telah diserahkan secara berhemah bagi menunjukkan bantahan terhadap pelaksanna cukai baru ini. Malangnya, semua ini hanya sia-sia apabila apabila kerajaan memandang entang dan memekakkan telinga sahaja.Bagi aku sendiri, semua kaedah  kita kena rempuh supaya benar-benar memberi kesan kepada pihak sasaran termasuklah cara yang dikatakan ganas dan tak bertamadun ini.  Analoginya begini ;

katakan Seman berhutang dengan Munah. Hari-hari Munah tuntut hutang daripada seman dengan begitu sopan ditambah dengan senyuman yang manis yang terukir di bibir Munah. Seman pula orang yang malas nak bayar hutangnya disebabkan kedekut, bukan sebab dia tidak mampu untuk membayarnya, tambahan lagi si Seman ni orang yang ego mengambil mudah tuntutan Munah. Confirm sampai bila-bila Seman tidak akan bayar hutangnya. Dek kerana terlalu marah, suatu hari Munah bertindak ‘ganas’ bersama kawan-kawan lelakinya ala-ala kaki pukul untuk memaksa Seman bayar hutangnya, bukan untuk membunuh Seman. Hari-hari rumah Seman habis disimbah cat dan dia diugut. Aku pasti akhirnya Seman terpaksa tunduk dengan tekanan yang dihadapinya dan Munah mendapat wangnya semula. Fikirkan lah.



Tidak dinafikan bahawa memang tidak nampak kesan yang nyata dalam perhimpunan ini bagi tujuan mendesak. Contohnya ‘Perhimpunan Bantah GST’, walaupun agak ramai yang turun ke jalanan, namun tidak dapat mengubah keputusan kerajaan untuk meneruskan cukai tersebut. Namun sekurang-kurangnya mampu memberi gambaran kepada pihak kerajaan bahawa rakyat begitu tertekan dengan pelaksanaan cukai tersebut. Andai kata kerajaan masih punya hati perut, mereka pasti mampu salami jiwa-jiwa mereka yang memberontak dan menunjukkan perasaan di jalanan ini. Kita semua sayangkan tanah air ini, masih wujud lagi semangat patriotisme. Walaupun peserta-peserta perhimpunan ini berarak di jalanan mengangkat sepanduk sehingga dikatakan memburukkan imej negara, tapi masing-masing punya akal yang membataskan tindakan mereka. Tindakan mereka kerana saying dan prihatinnya mereka terhadap tanah air, rakyat-rakyat marhaindan generasi-generasi akan datang.


         

Akhir kalam aku ingin aku menyeru kepada semua terutama golongan mahasiswa supaya jangan menilai sesuatu tanpa memahaminya. Zaman kini media-media massa tidak boleh dijadikan sebagai sumber sahih. Kenali dan fahami jalan sesuatu perjuangan itu sebelum mengeluarkan hujah. Perjuangan ini tidak menjamin kejayaan, tapi nilai kecintaan terhadap negara dan keprihatinan anda terhadap jerih perih rakyat mampu terbina dalam diri, inn sha Allah.

Wednesday 8 July 2015

SOSIAL PEMUDA DAN SISTEM PENDIDIKAN 

BISMILLAH..

Menulis dan bercakap memang lebih mudah daripada bertindak. Tapi perlu ingat, sesuatu tindakan yang berkesan bermula daripada cakap-cakap kosong, kemudian diterjemahkan oleh otak melalui proses2 tertentu untuk menjadikan cakap-cakap kosong itu menjadi sebuah ‘idea’. Apa yang aku hendak sampaikan dalam penulisan kali ini hanyalah sebuah cakap-cakap kosong yang boleh dibakulsampahkan selagi mana otak mereka tidak boleh menginterpretasikan idea aku ni.
Aku ingin semua melihat dan berfikir daripada situasi dan senario yang berlaku dan membelenggu pemuda-pemuda kita hari ini. Beberapa senario aku nak tunjuk adalah ;

1.       Ketika lepak
2.      Ketika masa lapang

Ok, pertama, bila anda lepak minum-minum di café-café, kiosk, kedai kopi, kedai mamak, dan mana-mana sahaja yang menjadi tempat tumpuan lepaking anak-anak muda. Apa yang aku nak tunjuk adalah bukan masalah lepak sebagai fokus, tetapi masalah utama yang membusuk adalah, apa yang dibincangkan / diborakan / disembangkan / dicarutkan dan sebagainya oleh anak-anak muda ni.
Maka, apa yang aku dapat perhatikan topik utama ketika anak-anak muda melepak adalah :
1.      Pakwa / makwa / crush / skandal
2.      Yang perempuan syok bergosip
3.      Sembang kencang politik, kutuk pihak itu ini, walhal satu fakta pun tak tahu. Huhu *opss

Yang kedua ketika masa lapang. Apa aktiviti yg dilakukan ketika masa lapang ? ok kita kecikkan skop kita, apa jenis hiburan yang kita pilih masa otak kita tak boleh berfikir. Acah-acah rehatkan minda la kononnya. Maka beberapa hiburan yang menjadi pilihan kebanyakan anak muda ialah :

1.      Running men
2.      Karok, lepak-lepak di mall,
3.      Movie omputeh *kadang-kadang aku pun terjebak

Pernah tak terfikir kenapa kita terlalu memilih jalan yang melalaikan. Bercakap perkara yang sia-sia, buat benda yang tak berfaedah, pilih hiburan-hibura yang melalaikan. Walhal banyak benda lagi yang boleh kita buat yang lebih berfaedah.

Contoh masa lepak. Daripada kita sembang pakwe makwe crush bergosip dan benda-benda yang sewaktu dengannya, kan ke lebih molek kita brainstorm macam mana nak selesaikan masalah umat, dengan keruntuhan sosial, akhlak, keruntuhan nilai dan norma masyarakat, masalah pengangguran dan apa  sahaja yang berfaedah. At least kita jadikan masa lepak bersama rakan sebagai medium bertukar pandangan, perkongsian idea, perdebatan ilmu dan lain-lain.

Maka aku berpandangan bahawa golongan anak-anak muda yang banyak menghabiskan masa dengan benda-benda yang aq sebut tadi sebagai anak-anak muda yang tidak ada IDEALISME yang menjadi hamba HEDONISME.

So, siapa yang nak dipersalahkan ? Diri mereka sendiri ? mungkin. Tapi pendapat aku, punca gejala ni adalah daripada SISTEM PENDIDIKAN yang sangat rapuh dan lemah.
ZF Zamir dalam karyanya Sekolah Bukan Penjara, Universiti bukan Kilang mengatakan bahawa falsafah pendidikan seharusnya adalah’Memanusiakan Manusia’. Namun adakah pendidikan negara kita berjaya mengeluarkan produk yang benar-benar boleh dijenamakan sebagai ‘manusia’? Secara ringkasnya, aku melihat bahawa pendidikan negara gagal menghasilkan manusia yang sempurna dari segi pemikiran, kepimpinan, keteladanan, moral dan akhlak serta nilai-nilai kerohanian yang seharusnya menjadi matlamat utama pendidikan. 

Namun bukan mudah untuk perbetulkan kerapuhan sistem pendidikan yang begitu ketara ini. Kesan daripadanya cukup besar , Mempengaruhi pemikiran para pemimpin masa depan, mendorong masalah sosial. Perlu kita ingat bahawa masa depan 30-50 tahun lagi dicorakkan oleh anak muda kini, bukan pemimpin yang dah mencecah umur 60 tahun. Jadi apakah sistem pendidikan kita kini mampu melahirkan pemimpin yang mampu menggalas cabaran negara pada masa hadapan. Mungkin hanya segelintir sahaja, iaitu golongan-golongan yang sedar akan hakikat ini. Semoga kita tergolong sebagai golongan yang sedar. 



Wallahua'alam.