Friday, 11 November 2016

Buat esei tentang harapan dan impian anda mengenai keluarga yang akan anda bina sendiri di masa akan datang - berapakah usia anda merancang untuk berkahwin dan mengapa anda memilih usia tersebut? Apakah ciri-ciri pasangan yang anda impikan; dan mengapa? Berapakah bilangan anak-anak yang anda inginkan; dan mengapa? Apakah falsafah atau prinsip yang ingin anda gunakan untuk keluarga anda nanti?
Deadline bagi esei ini adalah pada minggu ke-14. Esei ini akan dinilai dan menyumbang kepada 10% daripada penilaian keseluruhan kursus ini.
Sekian, selamat maju jaya!

Jawapan : 

Setiap manusia pastinya mengimpikan sebuah keluarga bahagia, begitu juga saya. Saya merancang untuk mula membina keluarga pada umur 26 tahun.  Saya kira pada umur ini sudah memasuki fasa kematangan yang membolehkan untuk ‘mendirikan sesebuah masjid’. Kematangan yang dimaksudkan disini adalah dapat berfikir dan bertindak dengan lebih rasional disamping memiliki ilmu rumah tangga yang baik. Umur ini juga saya mungkin telah memiliki aset dan keperluan yang sewajarnya seperti pekerjaan tetap, kereta, rumah dan sebagainya. 

Saya mengimpikan untuk membina sebuah keluarga dengan seorang gadis yang tidak perlu menjadi sempurna. Perkara utama yang saya lihat adalah mempunyai asas agama yang baik, pandai menjaga akhlak dan maruah diri, keluarga dan agama. Asas agama juga penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmoni, mengajar anak-anak kami tentang akhlak dan ibadat disamping sentiasa mengingatkan suaminya tentang kewajipan dan tanggungjawab. Ibu bapa saya membesar dengan pendidikan agama pada peringkat asas sahaja. Jadi saya mengimpikan seorang isteri yang dapat mengajar lebih mendalam ilmu agama terutamanya hal-hal ibadat kepada kedua ibu bapa saya ketika usianya semakin lanjut. Selain itu, cukup sekadar mempunyai pasangan yang sedap mata memandang dan tidak berhias keterlaluan. Pasangan juga perlu tahu peranannya dengan mempersiapkan ilmu memasak, mengemas rumah, mendidik anak-anak serta menjaga hati dan menghormati suami dan kedua ibu bapa. Perkahwinan yang dibina bukan hanya atas rasa cinta terhadap bakal pasangan, tetapi menyeluruh dengan rasa sayang dan cinta terhadap segala isinya seperti ibu bapa pasangan, minat dan hobi pasangan. Perkara ini penting bagi melahirkan perasaan saling memahami antara satu sama lain. 

Bilangan anak yang diimpikan adalah tidak lebih dari lima orang, cukup lelaki dan perempuan. Bilangan tersebut agak ideal dalam keluarga moden hari ini. Namun itu bukanlah perkara utama, sebaliknya yang paling penting adalah didikan ilmu dunia dan akhirat bagi anak-anak tersebut selain mempunyai ciri-ciri yang sempurna sebagai manusia normal. Saya berpegang pada prinsip ‘ alang-alang bercinta, biar bercinta hingga ke syurga, tidak ada keluarga yang lebih baik selain keluarga yang dibina atas dasar iman dan taqwa, selain cinta dan sayang yang menjadi lumrah dalam hati manusia’. 

No comments:

Post a Comment